KUALA LUMPUR – Malaysia hampir membuat kejutan apabila mengikat pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Penyerang gantian Paulo Josue muncul wira selepas meledak gol penyamaan kira-kira 10 minit sebelum tamat permainan untuk memberi keceriaan kepada 10,708 penyokong sendiri.
Sebelum itu, Harimau Malaya ketinggalan 0-1 seawal minit ketujuh selepas pemain pertahanan Sidny Lopes Cabral meletakkan Cape Verde di depan pada separuh masa pertama.
Pada aksi pertama antara kedua-dua pasukan di pentas kompetitif itu, Peter Cklamovski mempertaruhkan tujuh pemain tempatan dalam kesebelasan utama seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.
Pemain naturalisasi terbaharu, Gabriel Palmero pula diberi peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.
Selepas ini, Harimau Malaya sekali lagi akan bertemu Cape Verde dalam perlawanan tertutup yang dijadual Stadium Nasional pada 3 Jun ini.
Dua perlawanan menentang Cape Verde menjadi medan persiapan skuad negara menjelang aksi kedua Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, 10
Jun ini.
Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua tangga teratas kumpulan selepas satu perlawanan. – MalaysiaGazette
















