KUALA LUMPUR – Lebih 90 badan bukan kerajaan (NGO) menyokong ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar yang menolak penganjuran program bertemakan Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness bertujuan meraikan bulan Pride.
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala (MACSA) bersama 91 NGO lain dalam kenyataannya hari ini berkata, sebarang usaha menormalisasikan gaya hidup songsang adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.
Ini kerana tegasnya, Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta berpegang kepada nilai budaya timur yang luhur.
“Sambutan Pride berselindung di sebalik perkataan ‘menghalang diskriminasi” namun hakikatnya ia bertujuan mempromosikan gaya hidup golongan berkenaan agar diberikan pengiktirafan,” katanya.
Untuk rekod, bulan Pride disambut setiap Jun saban tahun dikatakan sebagai bulan kesedaran tentang lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ).
Walau bagaimanapun ia jelas mempromosikan gaya hidup LGBT dengan disokong oleh badan hak asasi Barat dan sektor korporat.
Atas nama “kesedaran”, pelbagai program dan acara disusun dalam sambutan Pride sebagai usaha pemaksaan ideologi gender ke atas masyarakat, ujarnya lagi. -MalaysiaGazette















