KUANTAN – Padang Stadium Darul Makmur (SDM) kini telah diiktiraf sebagai padang rumput asli (natural grass) pertama di Malaysia yang mendapat pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan d an Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pengiktirafan itu dibuat melalui Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semulajadi.
”Pensijilan ini diperolehi setelah pihak konsultan, yang dilantik oleh FIFA iaitu Acousto-Scan Pty Ltd., berpuas hati dengan keadaan padang SDM melalui penilaian penuh yang dijalankan pada 23 dan 24 April baru-baru ini.
”Penilaian tersebut yang dilakukan oleh Mr. Anthony Apparailly dan Mr. Gary Chatfield, dan berjaya mendapat penarafan ’Excellent’ dengan markah sebanyak 93 peratus,” katanya ketika ditemui sidang media hari ini.
Mengulas lanjut Fadzli berkata pengiktitafan FIFA ini menunjukkan bahawa padang SDM telah dibina dengan spesifikasi dan kualiti yang tepat oleh Syarikat RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. iaitu kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menaik taraf padang ini.
Selain itu katanya, pengiktirafan FIFA itu menandakan kejayaan dalam aspek teknikal dan penyelenggaraan, sekali gus membuka peluang kepada SDM untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan bola sepak bertaraf antarabangsa.
Padang yang memenuhi piawaian antarabangsa ini mampu membantu mengurangkan risiko kecederaan dan memberi ruang kepada peningkatan prestasi pemain menerusi pendekatan sains sukan.
Ujarnya dengan adanya padang yang diiktiraf oleh FIFA ini ianya diharap dapat menarik lebih banyak acara sukan antarabangsa ke negeri ini, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan sukan.
Pensijilan FIFA yang diperoleh hari ini bukan sahaja merupakan pencapaian yang bersejarah, sebaliknya memberi keyakinan bahawa dengan perancangan yang rapi dan memberi kemudahan sukan bertaraf antarabangsa di bumi Pahang.
Menurut Fadzli antara komponen utama penilaian penuh ini termasuk ujian iklim iaitu pengujian terhadap suhu persekitaran, kelembapan persekitaran, kelajuan angin dan suhu tanah.
Aspek penilai kedua pula merupakan Ujian Prestasi Sukan bagi mengenal pasti keadaan
padang dari segi lantunan bola menegak, penyerapan hentakan bagi pergerakan bola, penyerapan tenaga menegak, pengembalian tenaga, rintangan putaran dan keseragaman.
Manakala Ujian Agronomik pula mengukur kekerasan permukaan, ketinggian potongan rumput, kandungan kelembapan tanah, dan analisis kesihatan tanah. – MalaysiaGazette















