Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar (tengah) dan para jemaah haji yang lain berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 30 MEI 2025.

 

SEPANG – Pesawat terakhir membawa jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446H/2025 dijadualkan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penerbangan terakhir tersebut membawa kira-kira 357 jemaah, menandakan berakhirnya operasi penghantaran jemaah ke Tanah Suci oleh Lembaga Tabung Haji (TH) tahun ini.

“Insya-Allah kapal terbang terakhir (yang membawa jemaah haji) dengan penerbangan KT101 akan berlepas pada 1 Jun,”  katanya dalam sidang media selepas mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/ 2025M di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang tadi.

Mohd Na’im juga mengiringi jemaah yang menaiki pesawat KT96 hari ini jam 4.30 petang.

Para jemaah diperiksa sebelum berangkat bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Naim Mokhtar (tengah) ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 30 MEI 2025.

Beliau turut ditemani isterinya, Datin Nik Roslini Raja Ismail dan turut ditemani Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir mengiringi Mohd Na’im dan Shamsul Azri adalah Timbalan Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Menurut Mohd Na’im, seramai 284 jemaah berlepas menerusi penerbangan MH8192 petang ini dan pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam operasi haji tahun ini, khususnya warga Tabung Haji yang bertugas setiap hari di KLIA.

“Saya mengambil kesempatan untuk ucapkan juta-juta terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, khususnya warga Tabung Haji yang berkhemah hampir setiap hari di KLIA untuk menghantar Duyufur Rahman (jemaah haji)  ke Tanah Suci bagi tahun 2025 ini,” ujarnya.

Tambah beliau, beberapa program di Tanah Suci telah disusun termasuk menghadiri Simposium Haji Agung ke-49 di Jeddah bersama pemimpin-pemimpin tertinggi pengurusan haji dari seluruh dunia.

“Simposium ini penting untuk membincangkan dan menyelesaikan isu berkaitan haji bagi tahun 2025 dan juga sebagai persediaan untuk musim haji tahun hadapan 2026,” katanya.

Para jemaah beratur untuk memasuki balai pelepasan sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 30 MEI 2025.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menasihati semua jemaah agar menjaga kesihatan dan mematuhi arahan, khususnya memandangkan cuaca panas ekstrem yang dijangka di Mekah dan Arafah ketika musim wukuf.

“Minum air secukupnya, duduk di penginapan jika tiada keperluan, elakkan daripada terlalu terdedah kepada panas. Kita bimbang kalau terlalu terdedah, nanti bila sampai waktu wukuf, jemaah jatuh sakit pula,” pesan beliau.

Setakat ini, hampir 29,000 daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia telah berada di Tanah Suci, manakala selebihnya dijangka menyusul dalam tempoh beberapa hari lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast