Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menggesa supaya isu tauliah mengajar atau ceramah agama perlu diurus dengan amanah dan tanpa prejudis.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, jasa seseorang pendakwah tidak wajar dipadamkan hanya kerana kekhilafan kecil.

Beliau yang juga penceramah bebas menambah, penguat kuasa agama perlu bertindak dengan budi bicara dan kebijaksanaan demi melestarikan usaha dakwah yang ikhlas.

“Selagi mana seorang pendakwah tidak menyimpang daripada ajaran Islam, mengapa perlu disekat?

“Jika ada tergelincir dalam kata, panggillah dan tegurlah dengan hikmah.

“Pendakwah juga harus bersedia menerima nasihat dan pembetulan.

“Jika ada ruang untuk mempermudahkan urusan tauliah, maka permudahkanlah.

“Bukankah doktor yang aktif dalam politik tidak ditarik lesen perubatannya? Maka mengapa asatizah diperlakukan sebaliknya?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah kediaman di Pasir Gudang malam kelmarin, selepas disyaki memberi ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 50 tahun itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam oleh bahagian penguatkuasaan JAINJ dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Sebelum ini, Mohamed Sukri mendakwa, beliau juga pernah dihalang menyampaikan tazkirah Ramadhan di Kompleks Pendidikan MATIN, Perlis.

Di Selangor pula, dakwanya, tauliahnya ditarik balik setelah 10 tahun mengajar kerana menjadi ahli politik, manakala berdepan gangguan lain di beberapa negeri walaupun memiliki tauliah.

Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, beliau bersetuju politik kepartian tidak wajar diseret ke dalam mimbar masjid.

Namun, ujar beliau, menerangkan siasah Islam sebagai cabang agama adalah keperluan ilmiah dan tanggungjawab.

Jelasnya, jika seorang pendakwah memegang jawatan dalam parti politik, itu adalah hak kebebasan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Tujuan kita hanya satu iaitu mengajak manusia kembali kepada Allah SWT dengan ilmu yang benar dan niat yang tulus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast