KUALA LUMPUR – Sebanyak 88.2 liter cecair vape mengandungi dadah sintetik amphetamine bersamaan 104 kilogram bernilai RM3.29 juta dirampas dalam serbuan ke atas kondominium mewah di Brickfields, di sini, kira-kita jam 8.30 malam Rabu lalu.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, rampasan itu adalah nilai terbesar membabitkan dadah dalam bentuk cecair vape, setakat ini.
“Serbuan ke atas makmal mini itu dijalankan selepas risikan selama tiga bulan.
“Ia turut membawa kepada penahanan dua lelaki warga Taiwan berusia 30 dan 35 tahun, yang dipercayai ahli kimia dan penjaga stor sindiket.
“Kami turut menemui 95 cartridge siap diproses, 20 bekas plastik, enam botol mengandungi dadah jenis amphetamine serta pelbagai peralatan pemprosesan termasuk mixer, alat pemanas, mesin penimbang dan sealing machine,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, sindiket itu aktif sejak April 2024, dan menyewa kondominium mewah pada kadar RM4,000 sebulan.
Mereka juga sering berpindah lokasi dan menukar individu yang terlibat setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kedua-dua lelaki itu masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.
“Ada yang menjadi pemproses, ada juga penjaga stor dan bayaran bulanan sindiket kepada setiap individu terlibat mencecah RM10,000 sebulan,” tambahnya.
Setiap cartridge berisi dadah dijual pada harga RM180 di pasaran tempatan, namun mampu mencecah RM400 di luar negara.
Sindiket juga dipercayai mempunyai pembeli sedia ada dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran.
Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berat termasuk kes bunuh, kes berkaitan senjata api dan pengedaran dadah di Taiwan.
Susulan itu, sebuah motosikal Honda milik suspek utama turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta).
“Kami juga percaya masih ada baki ahli sindiket yang berada di Taiwan dan beberapa rakyat tempatan yang turut terlibat sebagai transporter.
“Oleh sebab itu, kami sedang menjalin kerjasama berkerjasama dengan Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminal Investigation Bureau (CIB) Taiwan untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Kedua-dua suspek direman lima hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun 2025 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















