Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan peletakan semua jawatan beliau di dalam UMNO.

Tengku Zafrul berkata, beliau melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahlian dalam parti itu.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO.

“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO,” katanya.

Perkara itu diumumkan beliau menerusi kenyataan media ringkas, hari ini, setelah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan parti.

Tengku Zafrul menjelaskan keputusan meninggalkan UMNO bukan sesuatu yang mudah dan diambil selepas melalui proses pertimbangan panjang serta nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO sendiri.

“Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri,” katanya.

Tambah beliau, keputusan untuk melepaskan semua jawatan dalam parti itu dibuat selepas bermuhasabah diri serta mempertimbangkan faktor keserasian.

“Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian,” jelas beliau.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan tertinggi parti tersebut.

“Saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO yang telah menyokong beliau sepanjang penglibatan dalam parti itu selama lebih dua dekad.

Tengku Zafrul, 51, mula menceburi arena politik sebagai Bendahari BN Selangor, yang menjadi titik penting dalam perjalanan politik beliau.

Bagaimapun, beliau meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April tahun lalu.

Tengku Zafrul pernah mencuba nasib dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 di Kuala Selangor tetapi tewas dengan hanya satu peratus undi.

Beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Oktober 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dis tidak ada sumbangan pada umno dan tidak berjiwa rakyat. di hanya tunggul yang menumpang umno.

Comments are closed.