KUALA LUMPUR – UMNO belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam parti itu.
Setiausaha Agungnya, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius niat perletakan jawatan Tengku Zafrul kerana ingin menyertai PKR.
“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengumumkan peletakan semua jawatan beliau di dalam UMNO membabitkan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahlian parti.
Menurut Asyraf, ia bagi mengelakkan berlaku ketidakharmonian dalam kalangan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga mencetus prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri dalam kalangan ahli akar UMNO.
Tengku Zafrul berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO.
Dalam masa sama, beliau menyatakan hasrat untuk menyertai PKR dan telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan tertinggi parti tersebut. – MalaysiaGazette















