KUALA LUMPUR – Persidangan Women Economic Forum ASEAN 2025 (WEF ASEAN 2025) bakal menghimpunkan lebih 67 penceramah antarabangsa dari lebih 40 buah negara termasuklah ASEAN dengan visi memacu kepimpinan wanita serantau.
Forum berprestij itu juga akan mengumpulkan 51 penceramah tempatan terdiri daripada pelbagai latarbelakang pada persidangan kali ini yang berlangsung selama tiga hari antara 19 hingga 21 Jun di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini.
Bercakap dalam majlis pengumuman itu, Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr Hartini Osman berkata, forum ini adalah medan bersejarah yang menyatukan pemimpin dan penggiat perubahan dari seluruh ASEAN dan dunia.
“WEF ASEAN 2025 bukan sekadar sebuah forum, ia adalah gerakan berlandaskan kasih sayang, solidariti dan tindakan kolektif. Kita berkumpul bukan hanya untuk meraikan kejayaan tetapi untuk memberi harapan kepada wanita dan komuniti yang masih menanti peluang dan perubahan.
“Persidangan antarabangsa ini mempunyai visi iaitu memperkukuh suara wanita dalam pembangunan serantau serta menjalin kerjasama strategik merentas budaya dan sempadan, seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tema forum tahun ini, membawa mesej jelas bahawa kepimpinan wanita harus diiktiraf sebagai pemangkin utama dalam mencorak masa depan rantau kita,” katanya pada sidang media hari ini.

Turut sama hadir ialah Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN MITI, Datin Dr Sugumari Shanmugam.
Difahamkan, setakat ini, lebih 400 peserta telah mengesahkan kehadiran, termasuk wakil kerajaan, ahli perniagaan, pendidik dan pemimpin wanita dari pelbagai sektor.
Forum ini juga akan menyediakan peluang padanan perniagaan dan pameran ‘Pesta Kita ASEAN yang menampilkan produk dari dalam dan luar negara, diiringi persembahan kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.
Kata Hartini, dari segi format, forum ini merangkumi 24 sesi merangkumi enam bengkel, sembilan perbincangan meja bulat ‘roundtable discussions’, 10 sesi plenari selain beberapa lagi sesi dikenali sebagai ‘fireside chats’.
“Satu lagi program penting dan kemuncak adalah majlis makan malam ‘gala night’ yang akan dihadiri oleh tetamu kehormat dan pemimpin-pemimpin wanita dari pelbagai negara.
“Ramai antara mereka merupakan bekas Perdana Menteri, kerabat diraja, ahli politik, usahawan dan pendidik serta ramai lagi yang penting.
“Manakala hari terakhir forum akan menyaksikan pembentangan resolusi dan hasil perbincangan kepada pemimpin negara dan wakil antarabangsa, sebagai cadangan dasar untuk mengangkat suara wanita di peringkat serantau dan global,” ujarnya.

Dimaklumkan juga WEF ASEAN 2025 mendapat sokongan kukuh daripada pelbagai pihak yang tampil sebagai penaja rasmi dan rakan strategik.
Antara yang terlibat termasuklah FGV Holdings Berhad, Kino Biotech (M) Sdn Bhd (Kinohimitsu), St Beaute Sdn Bhd (Matis Paris), Cuckoo International (MAL) Berhad (Cuckoo Malaysia), Palaterium Sdn. Bhd. (HWC Malaysia), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) dan ADLA Group.
Barisan penaja emas pula terdiri daripada Ceres Diamond & Jewels Sdn Bhd (Patricia), Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Ogawa World Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dan MSM Malaysia Holdings Berhad.
Selain itu, forum ini juga bakal menampilkan puluhan pempamer terkenal daripada pelbagai sektor termasuk teknologi, kesihatan, kecantikan, pendidikan, keusahawanan dan gaya hidup selain kehadiran tetamu jemputan khas dari dalam serta luar negara.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua pihak, dari penaja, rakan kongsi, sehingga kepada pempamer dan sukarelawan. Anda semua bukan sekadar pemegang taruh, tetapi pemegang jiwa kepada pergerakan ini,” kata Hartini.
Forum yang dijangka menjadi titik tolak kepada perubahan struktur dalam kepimpinan wanita ASEAN ini bakal menyatukan pemimpin, penggubal dasar, usahawan dan aktivis untuk memacu masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan penuh harapan. -MalaysiaGazette
















