Gambar hiasan.

Unsur nadir bumi (rare earth elements, REE) bukanlah sebutan baharu dalam dunia industri teknologi tinggi. Sejak era Perang Dingin, kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet membangunkan keupayaan REE mereka demi keperluan strategik pertahanan dan aeroangkasa. Hari ini, REE menjadi nadi utama dalam rantaian bekalan global untuk kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu dan pemacu kelestarian alam.

Kita turut mempunyai sejarah tersendiri. Daripada loji Asian Rare Earth di Bukit Merah, Perak yang sarat kontroversi sekitar dekad 80-an sehinggalah fasiliti Lynas di Gebeng, Pahang yang kini merupakan antara fasiliti pemisahan REE ringan terbesar dan termoden di dunia. Malaysia sedang memulakan langkah baharu untuk membina keseluruhan rantaian nilai REE; bermula dengan perlombongan di peringkat huluan, diikuti pemprosesan bahan mentah dan pembuatan produk berteknologi tinggi di peringkat hiliran.

Status Negara Maju dan Berpendapatan Tinggi

REE diposisikan sebagai salah satu daripada empat ‘game changers’ bahan termaju dalam Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Kebangsaan 2021-2030. Kerajaan menggambarkan industri REE sebagai kunci bagi Malaysia menuju hab teknologi tinggi sekali gus menjadikannya negara berpendapatan tinggi.
Hal ini kerana rizab nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) negara dianggarkan sebanyak
18.2 juta tan dengan nilai pasaran sehingga RM800 bilion menjelang tahun 2030. Ahli ekonomi mengunjurkan pelaburan RM100 bilion diperlukan untuk membangunkan industri ini dan dapat menatijahkan penciptaan 4,000 peluang pekerjaan.

Pasaran global REE dijangka terus berkembang dengan pesat, dari USD3.74 bilion (2024) kepada USD8.14 bilion (2032) dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sehingga 10.2%. Malaysia ingin mengambil bahagian dalam pasaran ini, bukan sekadar sebagai pengeksport bijih tetapi pengeluar super magnet dan motor elektrik yangmenjadi komponen penting kenderaan elektrik dan turbin angin dengan perolehan dijangka mencecah RM13.59 bilion menjelang tahun 2030.

Pahang di Titik Tumpu

Sebahagian besar tumpuan pembangunan tertumpu di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah. Pahang secara khusus turut memiliki kedudukan yang strategik apabila menempatkan 1.4 juta tan atau 8% daripada jumlah kebangsaan, dinilai sekitar RM80 bilion.

Mendapan jenis ionic adsoprtion clay (IAC) yang terkenal kerana kandungan REE yang tinggi dan elemen radioaktif seperti thorium dan uranium yang rendah banyak ditemui di Pahang dan Perak. IAC inilah yang menjadikan perlombongan REE lebih menarik dari sudut keselamatan dan kelestarian.

Jabatan Mineral telah mengenal pasti 29 kawasan strategik REE di seluruh negara termasuk Pahang dan lebih 80% tapak berada di luar rizab hutan simpan kekal. Namun, ini masih menuntut kepada pembangunan yang mampan serta kawalan impak alam sekitar yang teliti.

Teruja Tetapi Berwaspada

Dalam keterujaan ramai pihak untuk melihat kekayaan negara dapat dijana dan diagihkan, pelbagai andaian harus dicermati. Bukan mahu memperlahankan sebarang usaha pembangunan industri tetapi pemilikan aset bernilai tinggi seperti REE ini perlu ditatang tanpa terlepas ke pangkuan asing.

Salah satu andaian utama yang perlu dipersoalkan adalah sama ada Malaysia sudah memiliki keupayaan teknikal dan teknologi yang mampu mengawal keseluruhan rantaian nilai industri REE, secara kendiri. Realitinya adalah, kita masih banyak bergantung kepada khidmat kepakaran dan teknologi luar, sementara kapasiti penyelidikan dan inovasi tempatan pula belum berkembang secukupnya.

Andaian seterusnya adalah para pelabur akan tampil dengan modal dan pelan perniagaan dengan mudah, melihat kepada lambakan sumber mineral yang ada. Namun sebelum mereka hadir dengan angka pelaburan yang diperlukan, para pelabur

semestinya mahu jaminan dasar dan kod peraturan yang jelas serta pembahagian keuntungan yang menang-menang. Kata kuncinya ialah kecemerlangan urus tadbir.
Rakyat secara amnya perlu berhati-hati daripada terperangkap dalam ilusi bahawa sumber yang banyak akan menghasilkan kekayaan segera. REE bukan skim cepat kaya. Dalam sejarah ekonomi berasaskan sumber, khazanah semula jadi ini sering membawa kepada konflik, pencemaran atau pembaziran jika tidak diuruskan dengan visi dan disiplin dasar yang kukuh.

Perancangan Strategik Negeri

Untuk menjadikan industri REE sebagai satu lonjakan ekonomi khususnya buat negeri Pahang, beberapa perkara mesti dilakukan:
1) Mewujudkan Pelan Induk Negeri. Meskipun Kerajaan Persekutuan sudah merangka beberapa pelan hala tuju seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pahang memerlukan ‘blueprint’ tersendiri untuk tujuan penyelidikan, pembangunan kapasiti dan pengurusan kesan sosial-alam sekitar berkaitan REE. Ini akan menjadi pelengkap kepada pelan sedia ada di peringkat nasional selain mengutarakan cabaran unik yang terdapat di negeri Pahang.

2) Membina Ekosistem Teknologi Tempatan. Badan penyelidikan, institusi pendidikan tinggi dan sektor swasta boleh membentuk satu konsortium bersepadu untuk menerajui rantaian nilai khususnya ekosistem industri hiliran. Hal ini bertujuan supaya negeri bukan sekadar menjadi pengeksport bahan mentah tanpa diproses dan dibangunkan produk bernilai tinggi terlebih dahulu.

3) Menuntut Autonomi Berperlembagaan. Mengambil pengajaran daripada apa yang sedang berlaku dalam industri petroleum negara, kerajaan Pahang mestilah bertindak proaktif untuk menuntut kawalan kepada rantaian bekalan REE berdasarkan semangat Perlembagaan Persekutuan. Pengurusan industri REE secara terus di bawah kerajaan negeri dan amaun royalti yang berpadanan harus diberikan keutamaan.

4) Membawa Pelabur dengan Modal Berkualiti. Jawatankuasa pelaburan harus meneliti kualiti pelaburan yang ditawarkan, dengan mengambil kira kesediaan mereka

untuk memindahkan teknologi dan komitmen terhadap amalan perlombongan yang lestari.

Dari Bumi Pahang, Demi Kemakmuran Negara

Industri REE bukan sekadar soal ekonomi. Ia berkaitan keupayaan negara memanfaatkan sumber dengan bijak, membina daya saing baharu, dan menyatukan dasar persekutuan-negeri ke arah satu visi bersama.

Pahang memiliki kedudukan unik; sumber besar, fasiliti sedia ada seperti Lynas dan potensi menjadi negeri utama REE di Malaysia. Tetapi potensi tanpa persediaan hanya akan menjadi satu lagi episod dalam sejarah peluang yang terlepas.

Oleh Ahmad Shauqi Johara (Pahang Makmur Research)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast