Nie Ching selepas Program Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2024 Peringkat Parlimen Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Kulai, hari ini.

KULAI – Inisiatif Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) akan memberi  rebat kewangan bagi menggalakkan penganjuran konsert l, acara berskala besar dan berimpak tinggi diadakan dalam tahun ini atau depan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, inisiatif baharu itu bukan sahaja untuk penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa tetapi melibatkan penggiat seni tempatan untuk program berskala besar dalam negara.

“Sebanyak RM10 juta diperuntukkan setahun dan permohonan telah dibuka sejak 15 Mei lalu hingga 10 Julai depan.

“Program ini dikendalikan MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan Kementerian Komunikasi yang memberi tumpuan kepada penganjuran konsert dan acara berimpak tinggi khususnya melibatkan kapasiti melebihi 15,000 penonton dengan penglibatan artis tempatan dan antarabangsa.

“Ini adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan untuk merancakkan lagi industri seni tanah air,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2024 Peringkat Parlimen Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai di sini hari ini.

Katanya, terdapat beberapa syarat utama yang perlu dipatuhi penganjur bagi melayakkan mereka mendapatkan insentif itu termasuk perlu mempunyai pengalaman dalam acara berskala besar berkapasiti 15,000 orang dalam tempoh tiga tahun dari tarikh permohonan.

“Bagi pembiayaan artis antarabangsa, penganjur perlu membelanjakan minimum 20 peratus daripada jumlah Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) dengan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1.5 juta (mana-mana yang lebih rendah). Rebat itu akan disalurkan sepenuhnya selepas projek selesai dan laporan akhir diluluskan,” ujarnya.

Bagi pembiayaan artis tempatan pula katanya, penyaluran rebat adalah sama namun penganjur perlu membelanjakan 70 peratus daripada jumlah QMCES di Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1 juta iaitu mana-mana yang lebih rendah.

Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, sebanyak 107, 687 kandungan berbentuk penipuan atau scam diturunkan penyedia plaftrom atas permintaan kementerian itu dari Januari hingga 15 April lalu.

Beliau berkata antara kandungan yang paling banyak diturunkan adalah perjudian dalam talian dan penipuan (scam).

“Setakat 15 April lalu,  penurunan yang telah diturunkan ‘platform provider’ atas permintaan MCMC adalah 107, 687 dan antara yang paling banyak 57,669 iaitu berunsurkan perjudian dan 30 427 berunsur scam,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan kandungan atau iklan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam masa singkat bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast