KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan platform e-dagang baharu dikenali sebagai MARDI Agroshoppe, yang menjadi satu lagi langkah strategik ke arah mendigitalkan industri pertanian negara serta memperluaskan capaian teknologi pertanian kepada masyarakat.
Pelancaran rasmi platform ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dalam satu majlis yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang di sini hari ini.

Menurut Pengarah Pusat Pengkomersialan Teknologi dan Bisnes MARDI, Dr Haslina Hassan, Agroshoppe bukan sekadar platform jual beli dalam talian, tetapi turut berperanan sebagai saluran pemindahan teknologi hasil penyelidikan MARDI kepada pengguna dan penggiat industri pertanian di seluruh negara.
“Agroshoppe MARDI adalah platform e-dagang baharu yang memfokuskan khusus kepada produk berkualiti dan teknologi pertanian hasil penyelidikan MARDI.
“Ia menyediakan pengalaman membeli-belah dalam talian yang mudah, selamat dan pantas melalui sokongan sistem pembayaran yang kukuh,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas majlis pelancaran tersebut.

Tambah beliau, platform ini dibangunkan khusus untuk keperluan negara bagi memberikan kemudahan kepada pengguna mendapatkan produk pertanian berasaskan teknologi tempatan dengan lebih mudah dan terjamin.
“MARDI Agroshoppe ialah platform e-dagang baharu yang memberi tumpuan kepada produk pertanian. Ia merupakan platform yang disesuaikan untuk rakyat Malaysia, menawarkan pengalaman membeli-belah dalam talian secara selesa, selamat dan pantas melalui sistem pesanan dan pembayaran yang kukuh.
“Kami percaya pembelian secara dalam talian akan menjadi lebih mudah dan menyeronokkan,” katanya.
Beliau turut berkongsi antara visi utama platform tersebut ialah untuk membekalkan bahan input pertanian terbaik dan berkualiti kepada pengguna dari semasa ke semasa secara konsisten.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik merangkap Ketua Projek Agroshoppe, Mohamad Hafis Irzuan Zainol memaklumkan bahawa lebih 200 produk telah disenaraikan setakat ini di dalam platform Agroshoppe dan jumlah itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Dianggarkan lebih kurang 200 lebih produk telah kita masukkan untuk penjualan secara atas talian di platform e-dagang MARDI ini.
“Kita juga menjangkakan lebih banyak lagi produk teknologi MARDI akan dimasukkan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Beliau menjelaskan produk-produk yang ditawarkan merangkumi pelbagai kategori seperti anak pokok, benih, baja dan input pertanian, makanan dan minuman, produk kesihatan dan kecantikan, pertanian bandar, peralatan pertanian serta produk ternakan.
“Harapan saya, platform ini akan menjadi wadah kepada pemindahan teknologi bukan sahaja untuk tujuan jualan, tetapi juga untuk memastikan produk berkualiti hasil teknologi MARDI sampai kepada golongan sasar. Teknologi MARDI terus ke pintu rumah anda, itu matlamat kami,” katanya lagi.
Platform MARDI Agroshoppe turut menampilkan pelbagai kelebihan termasuk harga berpatutan, penghantaran pantas ke seluruh Malaysia, serta pilihan pembayaran yang fleksibel seperti pindahan bank, e-dompet (Touch ‘n Go, Boost, GrabPay), perbankan internet (FPX), dan kad kredit atau debit.
MARDI juga memberi jaminan terhadap kualiti produk yang dijual, termasuk jaminan pokok segar, serta sistem pembungkusan dan penghantaran yang selamat untuk memastikan produk diterima pelanggan dalam keadaan terbaik.
Dengan pelancaran ini, MARDI yakin Agroshoppe bakal menjadi pusat sehenti dalam talian bagi pembelian produk pertanian tempatan berasaskan teknologi terkini dan penyelidikan MARDI.
Orang ramai yang berminat boleh melayari laman rasmi https://agroshoppe.mardi.gov.my untuk melihat senarai produk dan membuat pembelian. -MalaysiaGazette















