Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin

KUALA LUMPUR – Pemergian Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada UMNO tidak menjejaskan kedudukan, jauh sekali menggugat status quo parti itu dalam Kerajaan Perpaduan mahupun sokongan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu berkata, walaupun Tengku Zafrul bertindak sedemikian dan memilih PKR sebagai wadah politik baharunya, namun ia bukan satu kerugian.

“Dalam politik baharu, kita perlu matang melihat hakikat. Tidak semua yang datang akan kekal, dan tidak semua yang pergi itu satu kerugian.

“Tengku Zafrul bukan Ahli Parlimen, bukan pemimpin yang mengakar dalam jentera parti, malah tempoh beliau sebagai Senator juga bakal tamat.

“Maka, pemergian beliau tidak menjejaskan kedudukan UMNO, jauh sekali menggugat status quo,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu Tengku Zafrul dalam satu kenyataan semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, Zulfadli juga berkata, mana-mana individu yang meninggalkan perjuangan bukan ancaman, bahkan mereka cuma membuka lebih banyak ruang kepada parti itu untuk menampilkan pemimpin yang benar-benar berjiwa UMNO.

“Sebagai sayap muda parti, kami percaya kesetiaan bukan diukur pada slogan, tetapi pada keberanian untuk kekal, bangkit, dan berjuang ketika parti diuji,” katanya.

Selain itu, katanya, UMNO tidak boleh bergantung kepada nama-nama besar termasuk Tengku Zafrul tanpa akar umbi jika mahu kekal relevan dalam lanskap politik tanah air.

“Kita perlu bangkit dengan keyakinan diri, meletakkan kepercayaan kepada wajah-wajah baharu yang bekerja, berkhidmat, dan tidak gentar berada di barisan hadapan untuk rakyat.

“UMNO perlu terus yakin dan tidak panik apabila ada yang pergi. UMNO adalah parti yang matang yang tidak akan melatah hanya kerana satu kerusi kosong,” katanya.

Sebaliknya, Zulfadli berkata, perkara itu perlu dilihat sebagai ruang untuk melakukan pembaharuan dan peluang menunjukkan kekuatan UMNO tidak pernah bergantung pada satu nama sahaja.

“Politik hari ini bukan soal siapa yang pergi. Tapi siapa yang tinggal, yang setia, dan yang sanggup terus memikul panji perjuangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast