KUALA LUMPUR – Pesta Pantun yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Wisma Bernama hari ini berlangsung dalam suasana yang meriah.
Seramai 32 peserta dari lapan kumpulan agensi media berentap seawal pukul 9 pagi tadi.
MalaysiaGazette merupakan salah sebuah agensi media yang turut mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Media lain yang turut serta pada program tersebut iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Pengisian Islam TV3, Astro Radio News dan Bernama.
Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala naib juara RM2,000 serta kedua-duanya turut menerima piala dan sijil.
Bagaimanapun, keputusan Johan dan Naib Johan Pesta Pantun hanya diumumkan pada Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA, 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 berserta piala dan sijil, selain hadiah sagu hati berupa hamper dan sijil penghargaan.
Kategori Pemantun Terbaik turut disediakan dengan hadiah wang tunai RM500, sebuah piala dan sijil, manakala DBP akan menyampaikan hadiah khas bagi busana terbaik kategori lelaki dan wanita.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana menampilkan pelbagai acara dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun. – MalaysiaGazette
















