Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di The Istana dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum berlepas pulang. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

SINGAPURA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan isu-isu penting dua hala dengan pemimpin Singapura termasuk hal ehwal sempadan dan maritim, tenaga boleh baharu serta inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN sebelum mengakhiri lawatan kerja sehari ke republik itu.

Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di The Istana dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum berlepas pulang.

“Kami turut mengkaji semula projek-projek yang sedang berjalan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan siap pada akhir 2026, dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan serantau,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pertemuan dua hala bersama PM Singapura, Lawrance Wong. 31 Mei 2025.
Foto: IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Beliau juga optimistik lawatan itu akan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Singapura untuk faedah bersama.

Wong, menerusi hantaran di laman Facebook, pula berkata beliau berharap dapat meneruskan kerjasama rapat antara Malaysia dan Singapura demi manfaat rakyat kedua-dua negara jiran itu.

Semasa lawatan itu, Anwar telah menyampaikan perutusan khas pada Dialog Shangri-La ke-22.

Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dan Presiden Boeing Global Dr Brendan Nelson.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast