BALI – Gabenor Bali, Wayan Koster, menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap operasi perniagaan haram yang dijalankan oleh warga asing di pulau itu.
“Kami telah membentuk pasukan khas rentas agensi untuk menjalankan audit menyeluruh terhadap lesen perniagaan pelancongan di Bali,” kata Koster dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta pada Ahad.
Pasukan ini terdiri daripada pelbagai elemen, termasuk ketua-ketua daerah, agensi-agensi berkaitan, dan persatuan perniagaan pelancongan.
Penubuhan pasukan ini didorong oleh peningkatan aduan awam daripada perniagaan kecil tempatan yang semakin terpinggir disebabkan penguasaan sektor pelancongan oleh warga asing.
Katanya, pentadbiran Wilayah Bali telah meneliti semula sistem dan peraturan pelesenan sedia ada dan mendapati terdapat banyak kes perniagaan haram yang dikendalikan oleh warga asing.
Banyak daripada operasi ini didapati mengeksploitasi kelemahan dalam platform pelesenan perniagaan Online Single Submission (OSS).
Gabenor Koster menegaskan, sistem semasa membolehkan pelabur asing menguasai sektor-sektor strategik, termasuk di peringkat mikro seperti perkhidmatan sewaan kenderaan dan penginapan.
“Bali tidak boleh menjadi pasaran bebas yang akhirnya memusnahkan rakyatnya sendiri,” tegas Koster.
Beliau menjelaskan, “Di daerah Badung sahaja, sekitar 400 permit untuk sewaan kereta dan agensi pelancongan dipegang oleh warga asing. Ramai antara mereka tidak mempunyai pejabat atau tidak tinggal pun di Bali, tetapi masih dibenarkan beroperasi.”
Oleh itu, pasukan khas yang baru dibentuk ini akan turun padang bagi mengelakkan kerosakan ekonomi jangka panjang terhadap industri pelancongan Bali.
Menurut beliau, amalan perniagaan haram ini bukan sahaja melanggar etika perniagaan, malah memperdalam jurang ekonomi dan merosakkan ekonomi tempatan.
Beliau menyatakan bahawa beliau akan mengeluarkan satu peraturan bagi membenarkan operasi bersama antara Agensi Ketenteraman dan Keselamatan Awam (Satpol PP) dan Polis Wilayah Bali.
Beliau juga mencadangkan dasar baharu yang mewajibkan semua agensi pelancongan mendaftar dengan persatuan pelancongan tempatan. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















