KUANTAN – Seorang lelaki sempat melakukan aksi ‘Wheelie’ dua kali sebelum ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar Jalan Air Putih, di sini kira-kira jam 3.16 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang seorang pemuda berusia 21 tahun.
“Anggota bertugas ketika itu kemudiannya dapat mengecam penunggang motosikal itu dan terus mengekori suspek sehingga ke lampu isyarat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di jalan Beserah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari memaklumkan, pihaknya mengeluarkan sebanyak 81 notis saman pelbagai kesalahan menerusi Op Samseng Jalanan yang bermula pada pukul 9 malam sehingga 7 pagi itu.
Katanya, dalam operasi itu juga, sebanyak 18 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula katanya telah mengeluarkan sebanyak 88 notis saman diatas pelbagai kesalahan dalam operasi sama. – MalaysiaGazette
















