Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Lima individu memandu secara melulu dan berbahaya ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, selain itu, seorang individu turut ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 108(f)(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamer nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, 26 motosikal turut disita manakala 174 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya.

“Sebanyak 161 kenderaan dan 181 individu diperiksa dalam operasi bermula 11.30 malam semalam hingga 9 pagi tadi melibatkan 50 anggota serta pegawai polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

“Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan dan gagal berhenti ketika pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saringan air kencing dilakukan terhadap 14 individu, namun kesemua mereka didapati negatif terhadap dadah.

Sehubungan dengan itu, Dzulkhairi menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Operasi Samseng Jalanan, katanya, akan dilaksanakan lebih giat bagi membendung aktiviti samseng jalanan daripada terus berleluasa dan menjejas ketenteraman awam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast