Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap kepada media ketika hadir ke Karnival Belia Madani Parlimen Pandan di hadapan Hospital Ampang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan menerima sebarang tawaran untuk memegang jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, pendirian tersebut memang diketahui umum dan beliau tidak berhasrat mengubahnya.

Rafizi mengaku Timbalan Presiden yang baharu, Nurul Izzah Anwar pernah membayangkan hasrat untuk ‘membawanya masuk’ jika ada pelantikan ke jawatan itu.

“Malah Nurul Izzah ketika jumpa saya hari itu, dia cuba nak bawa kalau ada Timbalan Presiden dilantik.

“Kalau Timbalan Presiden pun, kalau (jawatan) Presiden dilantik sekalipun saya tak berminat, apatah lagi apa-apa jawatan lain,” ujarnya kepada pihak media ketika ditanya sama ada beliau menerima tawaran jawatan dalam parti.

Beliau berkata, isunya bukan soal jawatan sebaliknya ia berkenaan mesej dan perjuangan yang dibawa ketika dalam PKR.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli beramah mesra bersama penduduk ketika hadir ke Karnival Belia Madani Parlimen Pandan di hadapan Hospital Ampang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2025.

Sewaktu ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang tawaran dari parti lain, Rafizi berkata: “Saya tidak tahu, saya tidak check (periksa) What’sApp.

Menjawab soalan wartawan, beliau menyatakan akan kekal sebagai Ahli Parlimen kerana ia berkaitan dengan mandat kumpulan yang mengangkat beliau.

“Jika orang tanya mengapa saya tidak letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, yang memilih saya adalah rakyat, jadi saya perlu menghormati keputusan rakyat,” ujarnya.

Ketika ditanya perancangannya selepas ini, Rafizi berkata: “Kalau saya ada perancangan, takkan saya beritahu pada U? Kalau orang buat perancangan dan cakap pada media ni, kurang cerdik la,”.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli melawat tapak pameran di Karnival Belia Madani Parlimen Pandan di hadapan Hospital Ampang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2025.

Terdahulu, Rafizi hadir Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan di Ampang, dekat sini.

Pada 28 Mei lalu, Rafizi yang gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini, mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunannya bermula hari itu sehingga 16 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast