KUALA LUMPUR – Dua premis hiburan di ibu negara diarah tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguat kuasa, semalam.
DBKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, operasi diketuai pasukan KL Strike Force mendapati, salah sebuah premis yang diserbu tidak memiliki lesen hiburan manakala, sebuah masih dalam proses permohonan lesen.
Susulan itu, DBKL telah mengambil tindakan sitaan terhadap peralatan berkaitan aktiviti hiburan di kedua-dua premis.
Menerusi sama, seramai 27 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan imigresen.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menahan 19 individu selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut mengeluarkan 10 surat perintah hadir bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















