KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk tidak melaksanakan keputusan penarikan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) sebagai langkah penyelesaian terhadap kebimbangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, isu tong gas tidak bersubsidi perlu ditangani secara seimbang agar keperluan rakyat tidak terabai selain memastikan kelestarian kewangan negara.
“Sebelum ini, subsidi gas diberikan oleh kerajaan bagi meringankan beban pengguna domestik. Namun perubahan polisi telah menyebabkan peniaga kecil tidak lagi menikmati subsidi.
“Langkah ini menimbulkan pelbagai reaksi kerana ia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat. Ramai mengeluh sebab nak guna tong gas ungu ni, kosnya naik mendadak,” katanya dalam kenyataan.
Shahir berkata, isu tong gas tidak bersubsidi semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Ujarnya, langkah kerajaan itu menimbulkan pelbagai reaksi kerana ia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
“Ramai mengeluh sebab nak guna tong gas ungu ni, kosnya naik mendadak. Kalau dulu harga kos RM26.60 untuk tong subsidi, sekarang kena sedia modal RM70 untuk satu tong komersial. Itu baru satu tong, bayangkan kalau sehari pakai dua atau tiga tong?” katanya.
Mengulas lanjut, Shahir berkata, ketiadaan subsidi terhadap tong gas menyebabkan harga jualan meningkat secara ketara, sekaligus membebankan isi rumah serta peniaga kecil seperti penjaja makanan dan pengusaha warung.
Katanya, mereka yang sebelum ini bergantung kepada tong gas bersubsidi kini perlu menanggung kos tambahan yang boleh mencecah puluhan ringgit setiap bulan.

Dalam jangka Panjang kata beliau, kenaikan tersebut boleh menyebabkan harga makanan dan perkhidmatan turut meningkat, hingga menjejaskan kuasa beli pengguna.
“Kerajaan pula berpendapat bahawa penarikan subsidi terhadap tong gas tertentu adalah langkah ke arah penyasaran subsidi yang lebih adil dan efisien.
“Subsidi yang terlalu umum dikatakan sering disalah guna oleh pihak industri dan bukan golongan sasar.
“Namun begitu, pelaksanaan dasar ini harus dibuat dengan teliti dan berperingkat agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. – MalaysiaGazette
















