ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya menyelesaikan kes samun dalam tempoh tiga jam melibatkan dua mangsa warganegara China iaitu seorang remaja perempuan dan neneknya dalam kejadian di Gelang Patah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah pada pukul 11.30 pagi membabitkan mangsa, seorang remaja perempuan, 14, dan neneknya, 70, semasa berada di sebuah rumah.
“Semasa berada di rumah tersebut telah cuba disamun seorang lelaki yang tidak dikenali. Suspek telah mengarahkan remaja berkenaan menyerahkan barang-barang berharga dan bertindak mencekik lehernya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, kemudiannya berlaku pergelutan suspek dengan kedua-dua mangsa menyebabkan suspek melarikan diri.
Akibat kejadian itu, mangsa dan neneknya mengalami kecederaan dan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Remaja berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri polis pukul 1.34 petang.
“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri bersama-sama anggota Balai Polis Tanjung Kupang membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
“Dia diberkas pada pukul 2.30 petang dan ditangkap dalam masa tiga jam selepas melakukan jayanah itu. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang pengaruh dadah dan daripada tangkapan tersebut pihak polis membuat rampasan sehelai t-shirt dan sehelai seluar pendek.
Menurut Kumarasan, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Jun ini untuk siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan menyebabkan cedera semasa merompak jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan.
“Polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan maklumat awam sehingga suspek berjaya ditangkap dalam masa singkat,” ujarnya.
Beliau memberitahu, sebarang aktiviti jenayah boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 @ Hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette















