Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG JAYA – Polis sedang mengesan dua wanita yang disyaki terlibat dalam pemerasan dan penyebaran maklumat palsu menerusi siaran langsung di TikTok membabitkan ugutan terhadap sebuah keluarga di Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu berusia 46 tahun mendakwa melihat siaran langsung di TikTok pada Sabtu lalu oleh seorang wanita yang dikenalinya yang telah memburukkan keluarganya dengan kenyataan berunsur ugutan.

Katanya, wanita terbabit dikatakan turut menunjukkan gambar adik lelaki dan perempuan pengadu serta membuat tuduhan tidak berasas terhadap mereka.

“Selepas siaran itu, pengadu yang merupakan seorang suri rumah telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang mengandungi ugutan mahu mencederakan.

“Wanita yang membuat siaran langsung juga pernah menghubungi adik pengadu dan menuntut bayaran hutang sebanyak RM10,000 namun perkara itu dinafikan oleh adiknya,” katanya kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, siasatan mendapati kejadian itu berlaku melalui siaran langsung TikTok yang dibuat oleh akaun milik wanita yang dikenali pengadu sejak April lalu.

Tindakan suspek memberi tekanan emosi kepada keluarga pengadu apabila siaran itu ditonton oleh ramai pengikut selain mereka turut menerima mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali.

Kedua-dua suspek dikenal pasti sebagai wanita warga tempatan berumur lingkungan awal 40-an.

Polis sedang mengesan dan akan menangkap suspek secepat mungkin untuk siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast