Situasi terkini kediaman-kediaman yang musnah ekoran kebakaran paip gas Putra Heights ketika tinjuan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 03 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Rakyat masih tertunggu-tunggu laporan penuh siasatan insiden kebakaran Putra Heights pada 1 April lalu yang telah dijanjikan oleh seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengarah Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat,  Nurul Islam Mohamed Yusoff itu mendakwa, pada sidang media pada 30 April lalu, Amirudin bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming telah memberi jaminan laporan tersebut akan dibentangkan dalam tempoh seminggu.

“Laporan insiden Putra Height sedang disiapkan, kita jangkakan dalam masa seminggu dari sekarang PDRM akan dibentangkan laporan itu untuk perhatian pihak masyarakat,” katanya yang memetik kenyataan Amirudin dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Nurul Islam berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan rasmi diumumkan sama ada oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menerusi satu podcast memaklumkan laporan penuh PDRM dan JKKP hanya akan dibentangkan penghujung Jun ini, menunjukkan berlakunya kelewatan daripada jadual asal.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff. – Foto: FB Nurul Mohamed Yusoff.

Nurul Islam turut berkata, pelbagai persoalan terus timbul termasuk dakwaan kerja korekan dilakukan dalam kawasan rizab Petronas serta status lesen CIDB kontraktor semasa kelulusan diberikan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KUSEL) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Macam mana MBSJ sebuah agensi bawah Kerajaan Selangor dan KUSEL sebuah agensi bawah Menteri Besar Incorporated boleh meluluskan permit korekan kepada syarikat ini sedangkan salah satu syarat permohonan permit korekan adalah lesen CIDB.

“Takpelah kita faham Amirudin baru lepas selesai pemilihan parti dan berjaya menang kerusi Naib Presiden dengan undi tertinggi. Tahniah YAB,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Amirudin sebelum ini yang memaklumkan audit kerajaan negeri dan audit Persekutuan sudah dijalankan ke atas KUSEL dan MBSJ, namun sehingga kini tiada maklumat lanjut mengenai dapatan audit tersebut.

Nurul Islam menambah, rakyat sedia menunggu namun laporan yang bakal dibentangkan perlu menyeluruh, telus dan meliputi semua aspek termasuk kemungkinan berlaku kecuaian agensi kerajaan negeri dalam proses kelulusan projek terbabit.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan penuh PDRM dan JKKP sama ada letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu berpunca daripada kerja pengorekan jentolak atau tidak, hanya akan dibentangkan penghujung bulan ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast