Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan melihat motosikal elektrik ketika hadir ke Majlis Penyerahan E-Bike oleh Menteri Besar Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 JUN 2025.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor telah menyumbangkan sebanyak 10 unit motosikal elektrik bernilai RM68,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan keberkesanan rondaan dan kawalan keselamatan di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu disalurkan melalui Menteri Besar Selangor (Incorporated) atau MBI, sebagai salah satu bentuk sokongan teknikal kepada pasukan keselamatan negara.

“Ini adalah penyerahan sokongan negeri untuk melicinkan aktiviti rondaan dan kawalan keselamatan di Negeri Selangor apabila MBI menyumbang kira-kira 10 unit kenderaan elektrik atau motosikal elektrik kepada Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di IPK Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu pada asalnya dicetuskan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan Pulau Ketam, namun kini dilihat sesuai untuk diperluaskan ke kawasan-kawasan lain yang lebih mencabar dari segi akses dan geografi.

“Saya dapat lihat ia juga boleh dikembangkan di kawasan-kawasan perbandaran ataupun kejiranan kecil yang agak ‘remote’, untuk tindakan pencegahan atau kawalan oleh pihak polis dalam menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat,” tambahnya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor turut menyumbangkan pelbagai kelengkapan logistik kepada PDRM, termasuk khemah untuk operasi bencana dan pelbagai bantuan lain semasa pandemik berlangsung.

Amirudin menegaskan, komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu PDRM adalah demi menambah kecekapan dan keupayaan pasukan keselamatan dalam menghadapi cabaran jenayah di Selangor.

“Komitmen yang ditunjukkan negeri tidak lain adalah untuk menambah kekuatan serta efisiensi kawalan keselamatan oleh PDRM, khususnya di kawasan Selangor yang berdepan tekanan penduduk yang tinggi dan pelbagai aktiviti.

“Peningkatan jumlah penduduk serta aktiviti ekonomi dan sosial di negeri ini secara tidak langsung menambah risiko kepada keselamatan awam, justeru memerlukan pendekatan pencegahan yang lebih proaktif.

“Inisiatif ini penting kerana ada aktiviti yang memberikan potensi berlakunya kesalahan dan jenayah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast