KUALA LUMPUR – Seorang penumpang dilaporkan terjatuh di kawasan landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong di sini petang tadi.

Susulan itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling memaklumkan perkhidmatan tren bagi laluan beberapa stesen di Puchong dihentikan.

Rapid Rail dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

“Tiada perkhidmatan tren di Stesen Bandar Puteri, Taman Perindustrian Puchong, Pusat Bandar Puchong dan IOI Puchong Jaya.

“Perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan di antara stesen- stesen tersebut,” katanya.

Sementara itu, Rapid Rail menambah, pihak operasi mengaktifkan perkhidmatan alternatif iaitu tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Puchong Perdana.

Selain itu tren dari Stesen Sentul Timur akan berpatah balik dari Stesen Kinrara BK5, manakala bas perantara ulang-alik percuma telah disediakan di antara Stesen Puchong Perdana ke Stesen Kinrara BK5.

“Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi laman media sosial Rapid KL dan pengumuman di stesen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast