SHAH ALAM – Siasatan teknikal berhubung insiden kebakaran di Putra Heights dijangka siap sepenuhnya, 26 Jun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata siasatan teknikal tersebut perlu disepadukan dengan siasatan jenayah kerana beberapa aspek penting.
Ini termasuk keutuhan struktur dan pergerakan tanah, masih perlu diteliti sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat.
“Siasatan teknikal telah dilakukan, dalam timeline yang diberikan ialah pada 26 Jun ini.
“Siasatan jenayah kita tak boleh keluarkan sekarang sebab kita kena cantumkan sekali dengan siasatan teknikal, kerana nanti masih ada ruangan yang perlu dikenalpasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di IPK Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan turut melibatkan kemungkinan pengaruh aktiviti luar serta aspek keselamatan infrastruktur seperti paip bawah tanah, yang kini berada di bawah skop kajian Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH.
Beliau jugs memaklumkan bahawa proses penempatan semula penduduk yang terkesan sedang berjalan, termasuk penyediaan sewaan rumah dan kenderaan sementara.
“Sewa rumah saya rasa dah hampir selesai. Kita ada yang tak sempat atau pun tak dapat sebelum ini kerana dokumentasi, tak dapat nombor akaun atau alamat mereka.
“Hal itu saya dah minta untuk diselesaikan segera,” tambahnya.
Dalam perkembangan berlainan, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri turut meneliti isu kawalan bahan terlarang susulan kebimbangan berlakunya penyalahgunaan bahan seperti ‘mushroom’ dan ganja dalam beberapa kes di kawasan terbabit.
“Jumlahnya agak kecil, tapi kita bimbang ada kesan-kesan lain terutamanya kepada generasi muda.
“Pendekatan ‘soft landing’ juga sedang dirancang bersama pengusaha pusat rawatan ketagihan (IPK), dengan mengambil kira aspek kesihatan awam dan kebajikan pekerja.
“Kita juga sedang menunggu cadangan balas dan pandangan daripada pengusaha IPK. Kita nak tengok bagaimana soft landing kepada pengusaha-pengusaha ini sebab mereka juga ada pekerja dan sebagainya,” tambahnya.
Beliau menekankan, sebarang dasar atau larangan baharu perlu disertakan dengan garis panduan jelas agar tidak mencetuskan kekeliruan seperti yang berlaku di beberapa negeri lain. – MalaysiaGazette
















