KUALA LUMPUR – Bermula 9 Jun, TikTok Shop dilaporkan akan melanjutkan tempoh pemulangan barang untuk produk “Mall” daripada 15 hari kepada 30 hari.
Menurut laporan Nanyang Siang Pau, meskipun polisi itu belum diumumkan secara rasmi, pelaksanaannya akan menyediakan “tempoh bertenang” yang lebih panjang untuk pengguna.
Ini bermakna, pengguna yang membuat pembelian secara terburu-buru masih boleh memulangkan produk setelah mereka mempertimbangkan semula atau menyesali pembelian yang telah dibuat.
Polisi 30 hari ini hanya terpakai untuk produk yang dijual di bawah kategori “Mall”, manakala polisi pemulangan 15 hari kekal untuk produk biasa.
Bagaimanapun, polisi baharu ini mengundang reaksi bercampur-baur. Pengguna menyambut baik dasar ini, namun penjual pula menyatakan kebimbangan, terutamanya bagi produk tertentu seperti pakaian dalam yang mungkin dipulangkan selepas hampir sebulan.
Setakat ini, dua platform beli-belah utama lain di Malaysia, iaitu Shopee dan Lazada, masih mengekalkan polisi pemulangan barang 15 hari. – MalaysiaGazette
















