MELAKA – Seorang lelaki warga India dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak teman wanitanya, dua tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap S Sakthivel, 30, selepas bekas pekerja stor Itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes berkenaan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sewaktu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Kenanga Seksyen 3, dekat sini, kira-kira pukul 10.30 malam 24 November 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian pengadu bersama tiga anak-anaknya dan tertuduh pergi bersiar-siar di Pantai Klebang.

Sebaik tiba di rumah pengadu, tertuduh memberitahu mahu bermalam di situ sebelum melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara meraba payudara dan punggung kanak-kanak itu di ruang tamu ketika teman wanitanya itu tidur di bilik.

Suspek kemudian mengugut mangsa supaya merahsiakan perkara itu sebelum dia ditangkap pada 4 Disember 2023 selepas pengadu membuat laporan di Balai Polis Tengkera.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran mengambil kira fakta kes.

Peguam K Shareveen bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Tertuduh yang sudah berada dalam tahanan selama 19 bulan juga hujahnya, hanya ingin pulang ke negara asal untuk hidup bersama keluarganya selain menanggung dua adik perempuan di India.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rohatul menjatuhkan hukuman penjara enam tahun berkuatkuasa dari tarikh ditangkap 4 Disember 2023 dan tiga sebatan rotan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast