KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup masuk anak pokok durian premium jenis Black Thorn bernilai lebih RM1 juta dari Thailand ke negara ini berjaya digagalkan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam di Jalan Kampung Kedap, Kelantan, sepasukan anggota PGA menahan sebuah lori yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai penghantar tanaman berkenaan ke sebuah nurseri di Muar, Johor turut ditahan.
“Pemeriksaan lanjut telah menemui sebanyak 9,000 anak pokok durian Black Thorn dan sembilan pokok hiasan Cycas di dalam kenderaan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM1.05 juta termasuk lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Manakala suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Kami akan terus memperketatkan kawalan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
“Kami tidak akan berkompromi dalam hal ini. Setiap cubaan menyeludup akan ditangani dengan tegas bagi memastikan keselamatan pertanian dan ekonomi negara terpelihara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















