KUALA LUMPUR – Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools melakar sejarah apabila muncul pemain negara pertama beraksi di liga utama Jepun bersama Cerezo Osaka.
Kelab itu mengumumkan kehadiran pemain itu secara rasmi menerusi satu kenyataan hari ini di media sosial miliknya di sini.
“Sah! Cerezo Osaka mengumumkan sudah menandatangani pemain pertahanan Malaysia, Dion Cools.
“Dion Cools akan memberi nilai tambah kepada Cerezo Osaka yang sedang bersiap sedia menghadapi baki saingan Liga Jepun musim ini,” katanya dalam hantaran ringkas kelab Jepun itu.
Cools memilih untuk menyertai Buriram United selepas kontraknya bersama kelab Republik Czech, FK Jablonec berakhir pada Januari 2023.
Sebelum ini, antara pemain yang pernah beraksi di Jepun adalah Luqman Hakim Shamsudin yang mewakili YSCC Yokohama dan Hadi Fayyadh Abdul Razak yang beraksi untuk Fagiano Okayama serta Azul Claro Numazu.
Pemain senior, Wan Zack Haikal Wan Noor pula pernah beraksi bersama FC Ryukyu. – MalaysiaGazette















