Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Pemberian tempat ke program Matrikulasi sepatutnya menjadi satu bentuk pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik pelajar dan bukan sesuatu yang perlu dirayu secara berulang kali terutamanya melibatkan keputusan cemerlang.

Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar meluahkan rasa kecewa dengan nasib begitu ramai pelajar cemerlang, khususnya dalam kalangan masyarakat India, yang masih belum menerima jawapan jelas mengenai status permohonan atau rayuan mereka ke program tersebut.

“Penerimaan ke matrikulasi sepatutnya satu pengiktirafan kepada kecemerlangan keputusan pelajar. Ia tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang perlu dirayu berkali-kali seolah-olah ia satu hadiah. Ramai dalam kalangan pelajar cemerlang tidak dapat tawaran.

“Kegagalan pihak berwajib memberikan maklum balas yang tepat dan telus telah menyebabkan ibu bapa dan pelajar terus berada dalam keadaan tertanya-tanya dan hilang arah.

“Saya menyeru agar Bahagian Matrikulasi tampil dengan data rasmi pengambilan pelajar mengikut kaum dan kategori, agar masyarakat boleh menilai sendiri tahap ketelusan sistem ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau turut mempersoalkan sikap membisu wakil-wakil rakyat yang sepatutnya menjadi suara kepada masyarakat khususnya dalam isu penting seperti akses kepada pendidikan.

“Di manakah suara wakil rakyat dalam isu ini? Mengapa mereka tidak bersuara apabila pelajar cemerlang terus tercicir tanpa penjelasan?” soal beliau.

Sivakumar turut mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menegaskan bahawa pelajar bukan Melayu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran SPM layak untuk memasuki program matrikulasi.

“Keputusan ini perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak termasuk kementerian, pegawai pelaksana dan wakil rakyat. Jika ada rayuan yang ditolak, beri alasan yang jelas agar ibu bapa tidak terus tertunggu-tunggu dalam ketidaktentuan,” tegasnya.

Beliau berharap ketelusan dan keadilan dalam sistem pendidikan negara dapat dipertingkat demi masa depan pelajar-pelajar yang berpotensi besar, tanpa mengira latar belakang kaum.

Baru-baru, Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan sudah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung maklumat mengenai pelajar India dalam Program Matrikulasi bagi Sesi 2025/2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast