Anthony Loke

PUTRAJAYA – Laporan siasatan awal nahas membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan oleh petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden maut itu akan dibentang bagi tindakan lanjut.

“Ya, pasukan petugas khas akan memberikan laporan siasatan itu selepas tempoh diberikan 30 hari tamat dan laporan itu akan dibentangkan kepada  Kabinet minggu depan.

“Saya akan membentangkan kepada jemaah menteri sebelum kita melakukan langkah seterusnya,”katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Anthony melaporkan pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan anggota FRU di Teluk Intan, Perak.

Pasukan itu diberikan tempoh selama 30 hari bermula 15 Mei untuk mengemukakan laporan siasatan awal kepada Kementerian Pengangkutan.

Ia dianggotai pakar serta wakil agensi utama berkaitan dengan Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan, Brig Jen Tan Chee Kee sebagai pengerusi serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin.

Kemalangan tragis itu berlaku pada jam 8.50 pagi, 13 Mei lalu, apabila sebuah trak yang membawa anggota FRU bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu.

Difahamkan, ketika kejadian, kesemua anggota terbabit sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas kawalan sempena perayaan Chitrapournami.

Akibat pertembungan itu, sembilan anggota FRU maut di tempat kejadian, manakala dua lagi dilaporkan parah dan tujuh yang lain mengalami kecederaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast