KUALA LUMPUR – Penahanan penyanyi dikir barat popular, Eda Ezrin bersama suaminya dan empat rakan mereka dilanjutkan sehingga 6 Julai ini selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya Thailand untuk menangguhkan pemfailan rayuan.
Memetik laporan Apa Khabar TV, ini merupakan kali keempat pihak pendakwa dibenarkan mengemukakan permohonan bagi melanjutkan tempoh rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat rakan mereka iaitu Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga tempoh lanjutan tersebut tamat.
Jurucakap mahkamah memaklumkan bahawa permohonan lanjutan telah dikemukakan oleh pihak pendakwa raya pada 30 Mei lalu.
“Ini adalah kali keempat mahkamah membenarkan permohonan untuk melanjutkan tempoh pemfailan rayuan sejak pembebasan kesemua tertuduh pada 6 Mac lalu.
“Di bawah undang-undang Thailand, pihak pendakwa raya dibenarkan untuk membuat permohonan lanjutan sebanyak empat kali,” katanya.
Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin dan lima individu lain selepas perbicaraan selama tiga hari yang berlangsung pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Namun begitu, kesemua mereka masih ditempatkan di penjara berikutan permohonan lanjutan rayuan yang dikemukakan oleh pendakwa raya diterima oleh mahkamah. – MalaysiaGazette















