Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Katibas, Rumah Robert, Nanga Bajor, Song, Sarawak pada Isnin lalu, ditemui lemas pagi tadi selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan. Ihsan Foto : JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Katibas, Rumah Robert, Nanga Bajor, Song, Sarawak pada Isnin lalu, ditemui lemas pagi tadi selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mangsa, Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain, 13, dipercayai lemas ketika mandi bersama abangnya dan tiga rakan sebelum dilaporkan hilang pada jam 5.28 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai sebaik menerima laporan.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 5.52 petang dan terus melancarkan pencarian awal bersama penduduk kampung di sepanjang tebing sungai, namun mangsa gagal ditemui.

“Operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan disambung semula keesokan harinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR diteruskan sehingga hari ketiga dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 4 Sibu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Song serta penduduk kampung.

Pencarian dijalankan menggunakan kaedah penyelamatan di permukaan air meliputi radius pencarian sejauh lima kilometer sepanjang tebing Sungai Katibas.

Menurut kenyataan itu lagi, mayat mangsa berjaya ditemui pasukan APM pada jam 10.44 pagi di tebing sungai, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti berhampiran dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi,” jelas kenyataan itu.

Ketika kejadian, mangsa dilaporkan memakai baju belang berwarna hitam, merah dan biru serta seluar trek berwarna hitam.

Operasi tersebut melibatkan empat anggota BBP Song bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda, dibantu tiga anggota polis, enam anggota APM, lima anggota Unit PPDA, dua anggota Unit K9, tiga anggota PBS Song serta 21 penduduk kampung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast