PETALING JAYA – Pembinaan sekolah vertikal yang diperkenalkan dalam Kota Madani di Putrajaya akan menetapkan syarat pembangunan keselamatan yang ketat di mana reka bentuknya lebih teratur berbanding sekolah sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun menyedari kebimbangan ibu bapa tentang bangunan yang tinggi, kemudahan seperti lif khusus akan dibangunkan bagi memudahkan pelajar berjalan terus ke sekolah.
“Kota Madani di Putrajaya memang sekolah vertikal dan parkir semua di bawah, aras perumahan memang betul-betul ‘garden’ manakala sekolah di atas.
“Sekolah kalau ada lif ia akan jadi lif khusus untuk sekolah sahaja, jadi anda boleh jalan dari tingkat 14 ke bawah untuk tadika atau sekolah tetapi syaratnya ketat,” katanya ketika mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 yang membincangkan isu berkaitan pengangkutan awam di sini malam ini.
Forum yang berlangsung di Menara Prasarana di sini membincangkan topik ‘Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam’.
Ia melibatkan ahli panel terdiri daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

FIM Siri 6 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform interaktif untuk membincangkan cabaran dan pendekatan strategik ke arah memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang inklusif, mampu milik dan lestari.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Kota Madani yang dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan, infrastruktur digital cekap, serta sistem mobiliti hijau, bakal dibangunkan di Putrajaya.
Beliau berkata, konsep pembangunan Kota Madani Putrajaya telah dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Pembangunan ini merupakan satu pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai sebuah bandar contoh, yang mendukung nilai-nilai Madani dan selari dengan visi Bandar Chase.
“Dengan keluasan 102 ekar, Kota Madani bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette
















