SEPANG – Selepas lebih dua tahun dihentikan operasinya, perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal kembali beroperasi dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak media dijangka akan dijemput untuk membuat sesi percubaan menaiki aerotrain tersebut minggu hadapan.
“Minggu depan, kita akan jemput media untuk lihat sendiri dan cuba aerotrain tersebut sebelum ia dibuka kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Selangor Aero Park di Sepang, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani.
Terdahulu, Mohd Izani memaklumkan aerotrain KLIA dijangka akan kembali beroperasi pada suku kedua tahun 2025, dengan status kemajuan projek kini telah mencapai 85 peratus.
Sebelum ini dilaporkan bahawa ujian akhir memerlukan aerotrain pertama beroperasi sejauh 2,000 kilometer tanpa sebarang kerosakan, manakala dua unit aerotrain lain perlu melalui ujian sejauh 1,000 kilometer.
Perkhidmatan aerotrain KLIA sebelum ini sering menjadi perhatian selepas beberapa insiden kerosakan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu. – MalaysiaGazette
















