Suasana Jabal Rahmah yang menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia ketika berwukuf di Arafah. Gambar arkib MalaysiaGazette pada 2019.

HARI Arafah ialah hari kesembilan dalam bulan Zulhijjah. Terdapat banyak galakan untuk berbuat amal soleh pada hari ini kerana ia merupakan hari para jemaah haji akan berwukuf di Arafah. Khusus bagi jemaah haji, inilah kunci serta inti pati ibadah haji. Sabda Rasulullah SAW:  “Haji adalah Arafah”(Riwayat al-Tirmizi).

Hadis ini menekankan betapa penting dan agungnya wukuf di Arafah. Ia adalah rukun yang paling utama dalam ibadah haji, dan tidak sah haji seseorang jika ia meninggalkan rukun ini. Wukuf di Arafah bukan sekadar berada secara fizikal di kawasan itu, tetapi ia adalah momen untuk seluruh umat Islam bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT. Ia adalah hari mustajab doa kerana segala doa dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan yang aku dan para nabi sebelumku pernah ucapkan ialah: ‘La ilaha illa Allah wahdahu la sharika lah, lahul-mulk wa lahul-hamd wa huwa ‘ala kulli shay’in qadir” (Riwayat al-Tirmizi).

Hari Arafah adalah detik agung yang dinanti-nanti oleh jutaan umat Islam saban tahun. Ia bukan sekadar perhimpunan besar di padang yang luas, tetapi sebuah anugerah Ilahi yang sarat dengan keberkatan dan limpahan keampunan. Maka, apakah persiapan yang sepatutnya dilakukan sewaktu berwukuf? Bagaimanakah kita dapat meraih rahmat dan maghfirah yang dijanjikan pada hari Arafah? Dan apakah keistimewaan serta kelebihan yang terkandung dalam hari yang mulia ini? Marilah kita menyelusuri sejarah dan sunnah Rasulullah SAW pada Hari Arafah, agar kita tidak terlepas peluang meraih ganjaran yang tiada bandingannya.

Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم singgah di kawasan Namirah. Apabila matahari tergelincir, Baginda menaiki untanya lalu bergerak menuju ke kawasan Wadi ‘Uranah. Di situ, Baginda menyampaikan khutbah kepada umat Islam. Baginda mengingatkan manusia tentang Allah dan hak-Nya. Dalam khutbah itu, Baginda menjelaskan tentang penghapusan segala amalan jahiliah, termasuk riba dan pertumpahan darah zaman lampau. Baginda juga berpesan supaya umat Islam berbuat baik kepada wanita serta menjelaskan hak antara suami dan isteri. Baginda صلى الله عليه وسلم turut mewasiatkan agar umat Islam berpegang teguh kepada Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah (al-Hadith).

Setibanya di Arafah, Baginda menjamakkan solat fardu Zohor dan Asar secara taqdim. Ini memberikan ruang kepada Baginda untuk fokus berdoa sewaktu wukuf. Seterusnya, Baginda keluar ke kaki Bukit Rahmah sambil menunggang untanya, menghadap kiblat, menadah tangan dan merendah diri kepada Allah hingga matahari terbenam. Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, para sahabat berbeza pendapat sama ada Rasulullah SAW sedang berpuasa atau tidak pada hari Arafah. Ada yang mengatakan Baginda berpuasa, dan ada pula yang mengatakan tidak.

Bagi menyingkirkan keraguan itu, isteri Baginda, Maimunah RA atau menurut satu riwayat, Ummu Fadhl RA telah menghantar semangkuk susu ketika Nabi SAW sedang wukuf di Arafah. Lalu Baginda meminumnya dalam keadaan orang ramai melihat, dan dengan itu terbuktilah bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari Arafah. Ini juga menunjukkan keutamaan bagi jemaah haji untuk tidak berpuasa agar memiliki kekuatan dalam menunaikan ibadah tersebut.

Dalam riwayat lain yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Usamah bin Zaid menceritakan beliau pernah membonceng Rasulullah SAW di Arafah. Ketika itu, Baginda mengangkat kedua-dua tangan berdoa tanpa henti. Lalu unta Baginda condong dan tali kekangnya terjatuh. Namun Nabi SAW tetap meneruskan doanya dengan satu tangan terangkat, sementara tangan yang satu lagi mengambil tali itu.

Begitulah khusyuknya Nabi SAW berdoa di Arafah dan berdiri di bawah terik mentari, mengangkat tangan berjam-jam tanpa henti, merendahkan diri, dan merintih penuh harap kepada Allah SWT demi keampunan dan rahmat buat umatnya. Inilah suri teladan agung yang ditinggalkan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, pada hari yang paling mulia di sisi Allah.

Sebagai hamba yang taat kepada Tuhan dan Rasul-Nya, marilah kita meneladani apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Beberapa panduan ketika wukuf:
 Persiapkan keperluan peribadi seperti makanan, minuman dan berehat secukupnya
sebelum berwukuf.
 Solat jamak Zohor dan Asar pada waktu Zohor.
 Berwuduk dan menghadap kiblat ketika mula berdoa.
 Menadah tangan secukupnya ketika berdoa. Tidak perlu berteriak atau mengangkat
tangan terlalu tinggi (sesungguhnya Allah itu Maha Dekat dan Maha Mendengar).
 Membaca:
“La ilaha illa-llahu wahdahu laa sharikalah, lahu-lmulku walahu-lhamdu wahuwa ’ala
kulli syai’in qadiir”. (Inilah zikir terbaik yang dibaca oleh para nabi terdahulu).
 Memperbanyakkan zikir:
“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illa-llahu, wallahu akbar.”
(Ini adalah kalimat yang paling dicintai Allah SWT).
 Berdoalah sebanyaknya dengan doa-doa yang terdapat dalam al-Qur’an dan Sunnah.
 Hadirkan rasa khusyuk serta rendah diri. Mohonlah rahmat dan ampunan dari Allah
SWT.

Hari Arafah adalah hari yang penting bagi seorang Muslim sama ada yang menunaikan haji mahupun tidak. Ia adalah hari meminta segala hajat, hari keampunan dosa dan hari pembebasan dari api neraka, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Tiada satu hari pun yang lebih ramai hamba dibebaskan daripada api neraka selain daripada Hari Arafah” (Riwayat Muslim).

Terdapat banyak kelebihan yang menceritakan tentang Hari Arafah sebagaimana disebut
dalam hadis Nabi SAW, antaranya:
1. Ramainya hamba yang dibebaskan daripada api neraka pada hari Arafah.
2. Hari di mana Allah SWT menyempurnakan agama Islam.
3. Puasa pada hari Arafah mampu menghapuskan dosa setahun yang lalu dan
setahun yang akan datang.

Bagi mereka yang tidak melaksanakan haji, jangan sampai meninggalkan Hari Arafah ini berlalu tanpa berbuat amal soleh. Disunatkan berpuasa bagi mereka yang tidak menunaikan haji kerana puasa pada Hari Arafah membawa kelebihan yang besar dan merupakan anugerah daripada Allah SWT yang mesti dimanfaatkan oleh setiap Muslim. Perbanyakkan zikir dan doa sepertimana yang dilakukan oleh mereka yang berwukuf di Arafah. Bertaubat dan jauhi segala maksiat agar mendapat maghfirah dari Allah SWT.

Sesungguhnya, Hari Arafah merupakan hari yang sangat agung. Pada hari inilah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, menyempurnakan agama Islam dan amanah kerasulan. Pada hari inilah para sahabat, tabi’in, para ulama dan salafussoleh sepanjang zaman berkumpul untuk berdoa, memohon keampunan dan rahmat. Pada hari inilah berhimpunnya umat Islam tanpa mengira bangsa atau kedudukan, di bawah terik matahari menggambarkan perhimpunan pada Hari Kebangkitan kelak.

Justeru, buanglah segala ego dan rasa bangga dalam diri kita, letakkanlah diri dalam keadaan serendah-rendahnya, takutlah akan azab dan balasan Allah yang nyata, sesalilah segala dosa yang telah dilakukan, bertaubatlah dengan penuh keikhlasan dan mohonlah rahmat dan keampunan Allah dengan penuh pengharapan. Inilah masa untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada doa, kekhusyukan, kerendahan hati, dan munajat kepada Allah SWT.

Semoga kita semua diberi peluang untuk merebut kelebihan Hari Arafah yang dijanjikan oleh Allah SWT, agar termasuk dalam golongan yang diampuni, dibebaskan dari api neraka, dan diterima amalannya, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Muhammad Danial Aiman Norman Hadi (kiri)  dan Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri Mahasiswa Universiti Islam Imam Muhammad bin Saud, Riyadh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast