Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada pelancaran Selangor Aero Park @ KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 05 JUN 2025.

SEPANG – Pertumbuhan pesat industri penerbangan di Selangor dijangka memberi tekanan terhadap ketersediaan tanah bagi pembangunan masa depan, sekali gus membuka kemungkinan perluasan projek ke negeri jiran, Negeri Sembilan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Selangor Aero Park (SAP) merupakan projek strategik yang ditunggu-tunggu oleh Kerajaan Negeri dan turut mendapat perhatian serius pihak kementerian.

“Ini adalah sebuah projek yang sangat penting yang diharapkan oleh Kerajaan Negeri, terutamanya Kementerian Pengangkutan.

“Dan saya rasa, mungkin dalam beberapa tahun, tanah di Selangor tidak akan cukup untuk menangani permintaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah SAP di sini, hari ini.

Menyedari kemungkinan itu, beliau secara menyeloroh menawarkan Negeri Sembilan sebagai lokasi tambahan sekiranya Selangor kehabisan tanah, memandangkan kedudukannya yang bersempadan dan strategik.

“Saya ingin menawarkan kepada Menteri Besar Selangor bahawa Negeri Sembilan hanya berhampiran.

“Jika tanah di Selangor tidak cukup, Negeri Sembilan boleh menawarkan tanah. Jadi, mungkin dalam beberapa tahun, kita akan namakan ia sebagai NS-Selangor Aeropark,” tambahnya.

Menurutnya lagi, cadangan itu bukan satu bentuk persaingan antara negeri, sebaliknya mencerminkan kerjasama merentas sempadan bagi mencapai misi nasional.

“Ini bukan permainan kosong. Ini bukan pertandingan antara Negeri Sembilan dan Selangor.

“Ini bagi saya adalah misi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai tanah udara bagi ASEAN dan dunia,” tegas Anthony.

Beliau turut menyebut projek Malaysia Vision Valley di Negeri Sembilan sebagai contoh kesiapsiagaan negeri tersebut dalam menyediakan tanah industri berskala besar.

“Di Negeri Sembilan, seperti yang anda tahu, kami mempunyai sebuah projek yang sangat penting, iaitu Malaysia Vision Valley. Itu juga adalah sebuah tanah industri yang besar yang kami ingin bangunkan juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast