Kuala Lumpur – Kementerian Komunikasi menafikan dakwaan pembatalan konsert (G)I-DLE & BamBam Live in Malaysia yang dijadual pada 14 Jun ini berpunca daripada kegagalan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, kelulusan prapermohonan bagi penganjuran konsert berkenaan telah pun diperoleh sejak 28 April 2025.
“Keputusan pembatalan dibuat atas permintaan pihak penganjur sendiri setelah mengambil kira justifikasi dan kepentingan semua pihak yang terlibat.
“Dalam hal ini, pihak penganjur perlu melakukan persiapan rapi termasuk mendapatkan kelulusan awal daripada pelbagai pihak berkepentingan sebelum menganjurkan konsert melibatkan artis antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, pihak penganjur, Live Universe Entertainment, memaklumkan bahawa pembatalan konsert dibuat atas pertimbangan pematuhan terhadap undang-undang tempatan serta garis panduan budaya.
Penganjur turut memberi jaminan bayaran tiket akan dipulangkan sepenuhnya melalui platform Ticket2U.
Pengumuman pembatalan itu mencetuskan pelbagai reaksi kekecewaan dalam kalangan peminat termasuk mereka yang merancang untuk terbang ke Kuala Lumpur semata-mata bagi menyaksikan persembahan dua bintang K-Pop ternama itu. – MalaysiaGazette
















