KUANTAN – Polis Bentong mengesahkan kejadian sebuah lori membawa muatan kereta mewah rentung dalam kebakaran seperti ditularkan di media sosial semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, kejadian itu berlaku di kilometer 39 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak kira-kira jam 11.20 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sebuah lori ‘low loader’ jenis Scania milik sebuah syarikat yang membawa muatan kenderaan mewah terbakar di bahagian bawah enjin sebelum api merebak ke seluruh lori tersebut.

“Lori itu membawa muatan kenderaan jenis Toyota Harier,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, siasatan awal juga mendapati kebakaran tersebut berpunca akibat masalah pada enjin lori berkenaan.

Bagaimanapun, katanya pemandu lori yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebelum ini tular di aplikasi X sebuah klip video berdurasi 20 saat memaparkan lori yang membawa muatan kereta mewah itu sedang terbakar di bahu jalan berhampiran persimpangan ke Genting Sempah, Bentong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast