KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) komited meneruskan prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam walaupun Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah menjadi milikan penuh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang diterajui Khazanah Nasional pada 22 Februari 2025.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC telah memulakan prosiding berhubung isu ini pada 17 Februari 2025 dan setakat ini telah mengadakan lapan prosiding.
Malah pada 3 dan 4 Jun 2025, PAC telah memanggil semula beberapa saksi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional bagi memberikan penjelasan dan keterangan terhadap beberapa isu berbangkit yang didapati daripada prosiding sebelum ini.
Antara saksi yang hadir adalah i. Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, mantan Pengerusi KWSP; Rohaya Yusof, Ketua Pegawai Pelaburan, KWSP; Goh Ching Yin, Ahli Lembaga Pengarah, Khazanah Nasional Berhad; dan Wong Shu Hsien, Pengarah Eksekutif, Khazanah Nasional Berhad.
Menurutnya, walaupun, isu ini tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), PAC mengingatkan semua saksi yang dipanggil supaya memberikan kerjasama dengan hadir bagi memberikan penjelasan dan keterangan di hadapan jawatankuasa ini.
Pada masa sama, PAC juga akan meneruskan prosiding isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM) Dan Bank Negara Malaysia (BNM) mulai 17 hingga 19 Jun 2025. – MalaysiaGazette
















