Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pesara jururawat kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa yang berusia 72 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai wakil daripada SKMM pada 29 Mei lepas.

“Suspek mendakwa terdapat seorang lelaki bernama Ong We Kiat yang terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram telah memasukkan wang berjumlah RM210,000 ke dalam akaun milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Panggilan tersebut kemudian disambungkan kononnya ke IPK Pahang dan mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Zamri.

Yahaya berkata, suspek memaklumkan akaun bank milik mangsa akan dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi siasatan lanjut.

“Mangsa kemudian diarahkan menyerahkan kesemua kad bank miliknya berserta nombor PIN dan diminta agar tidak memaklumkan perkara tersebut kepada sesiapa.

“Mangsa yang panik menurut arahan berkenaan telah meletakkan kad bank dan maklumat peribadi itu di dalam satu bungkusan dan diletakkan di hadapan rumahnya seperti yang diarahkan,” jelasnya.

Mangsa kemudian diberitahu suspek bungkusan itu akan diambil oleh seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Hanya selepas pergi ke bank untuk membuat semakan baki akaun, barulah mangsa menyedari wang simpanan persaraan suaminya telah lesap dan membuat laporan polis.

Tambah Yahaya, jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM111,044.64.

Justeru, Polis Pahang menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada mana-mana pihak yang membuat panggilan telefon mendakwa mereka daripada agensi penguatkuasaan.

“Sekiranya menerima sebarang panggilan yang meragukan, orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan,” tambah Yahaya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa peka dengan trend penipuan dalam talian yang kini semakin canggih selari dengan perkembangan teknologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast