PUTRAJAYA – Rayuan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menggugurkan Hakim Roz Mawar Rozain daripada mendengar saman fitnah difailkan Tan Sri Shahrir Ab Samad berhubung pendakwaan berniat jahat akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian menangguhkan keputusan selepas mendengar penghujahan peguam, Alan Adrian Gomez yang mewakili Tommy serta Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah bagi pihak Shahrir.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan pengurusan kes pada 12 Jun ini.

Rozain. Gambar ihsan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Alan Adrian berhujah agar rayuan itu dibenarkan atas alasan Hakim Roz Mawar dikhuatiri tidak akan mengadili anak guamnya secara saksama jika pendengaran saman didengar di hadapan beliau.
Hujah peguam, hakim berkenaan dikhuatiri bersikap berat sebelah kerana beliau terlebih dahulu membuat keputusan menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman yang difailkan Shahrir terhadapnya.
Sementara itu, Firoz Hussein pula berhujah supaya rayuan itu ditolak atas alasan Hakim Roz Mawar membuat keputusan yang betul ketika mengarahkan perbicaraan kes saman itu didengar di hadapan beliau.
Hujah peguam, hakim berkenaan berpuas hati supaya isu yang dibangkitkan dalam saman berkenaan wajar diputuskan melalui perbicaraan penuh.
Pada 14 Januari lalu, Hakim Roz Mawar menolak permohonan Tommy agar beliau menarik diri daripada mendengar saman tersebut.

Hakim berkenaan berpendirian, terdapat kemunculan trend tidak sihat apabila pihak-pihak yang terlibat dalam litigasi cuba menggugurkan hakim daripada mendengar kes mereka.
“Seorang litigan berhak memohon hakim menarik diri tetapi permohonan itu mesti dibuat selepas mempertimbangkan kesan buruk yang mungkin timbul terhadap integriti badan kehakiman dan pentadbiran keadilan,” ujar beliau.
Hakim Roz Mawar menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman tersebut dan kes dijadualkan untuk perbicaraan penuh selama tujuh hari pada 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu memfailkan saman tersebut pada Disember 2023, menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.
Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor. – MalaysiaGazette















