Dzulkhairi (kiri) ketika meninjau di pusat kawalan operasi mencari dan menyelamat remaja orang kurang upaya (OKU) lemah pembelajaran di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir, Alai, petang tadi.

MELAKA – Polis tidak menjumpai sebarang petanda yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah atau haiwan liar dalam kes kehilangan remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) lemah pembelajaran yang sudah melebihi 24 jam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan terhadap pelbagai kemungkinan menimpa pelajar sekolah itu yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir, Alai di sini sejak 6.30 petang semalam.

“Dari segi perbuatan jenayah kalau ikutkan memang tiada tapi kita tak tahu kemungkinan sekarang ni boleh jadi juga dia ikut orang. Itu yang kita belum pasti kerana remaja ini juga ada penyakit disleksia (gangguan pembelajaran).

“Kalau kita lihat di kawasan sekitar langsung tiada kesannya (kaitan jenayah),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini petang tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Ditanya adakah kemungkinan remaja itu menjadi mangsa serangan haiwan liar atau berbisa, Dzulkhairi berkata, tiada petunjuk dia menjadi mangsa serangan haiwan.

“Kemungkinan itu pelbagai kerana kawasan ini hutan belukar yang turut mempunyai sungai, kolam dan kemungkian juga ada binatang buas.

“Tapi setakat ini tiada unsur-unsur yang kita nampak daripada gangguan binatang malah telefon bimbitnya juga seperti dimatikan dan ini menyukarkan lagi usaha pencarian kita.

“Malah, pasukan unit anjing pengesan (K9) polis juga buntu kerana masih tidak menemui apa-apa petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan remaja itu,” tambahnya.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dilaporkan sesat di dalam hutan ketika keluar mencari lembu yang hilang, sejak 6.30 petang semalam.

Difahamkan, remaja terbabit keluar mencari haiwan ternakan di kawasan hutan berkenaan yang turut terdapat dua buah kolam terbiar berusia 80 tahun yang dikatakan ‘keras’ oleh penduduk kampung.

Menguatkan lagi dakwaan, apabila ada saksi kejadian mengatakan hanya menjumpai lembu betina yang hilang di kolam berkenaan selepas melaungkan azan kira-kira pukul 10 malam tadi walaupun sudah mencari di situ dua jam sebelum itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast