ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memulakan projek Rumah Prihatin Johor (RPJ) untuk golongan berpendapatan rendah Ogos ini bagi yang tercicir dalam senarai e-Kasih.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tawaran itu adalah langkah kerajaan negeri bagi memperluaskan syarat kelayakan memiliki RPJ.
Tujuannya bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah tercicir, memiliki rumah pertama mereka.
“Ini susulan penelitian kerajaan negeri termasuk aduan golongan berpendapatan rendah, ada yang tidak layak memohon projek perumahan kerajaan negeri bersubsidi kerana ‘terkeluar’ daripada senarai e-Kasih.
“RPJ untuk golongan tercicir ini akan bermula Ogos ini untuk mengisi jurang bantuan perumahan bagi golongan yang bukan dalam senarai e-Kasih tetapi tetap berada dalam kelompok berpendapatan rendah dan miskin,” katanya dalam Sesi Libat Urus Pembangunan Perumahan Negeri Johor di Ramada Meridin Hotel di sini hari ini.
Katanya, program itu mula dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Bukit Permai sebagai projek perintis dan akan diperluas ke 42 DUN seluruh Johor.
Jelasnya, rumah RPJ itu dibina atas tanah milik sendiri atau tanah milik keluarga dengan surat izin, lengkap dengan dua atau tiga bilik tidur dan siap dibina dalam masa tujuh bulan.
“Ada dua pilihan RPJ untuk dipilih iaitu rumah tiga bilik yang berharga RM86,000 dan rumah dua bilik berharga RM66,000. kedua-dua jenis pilihan itu akan diberi subsidi RM30,000 daripada kerajaan negeri dan bakinya dibayar pemilik menerusi pinjaman,” katanya.
Mohd Jafni berkata, permohonan projek RPJ bagi golongan tercicir ini sudah dibuka dan boleh dibuat di Pejabat Daerah berhampiran.
Katanya, proses meneliti permohonan dan kelulusan ditetapkan hanya tiga bulan sebelum ia mula dibina, jika ia memenuhi syarat kelayakan.
Program RPJ menyasarkan mereka yang mempunyai tanah sendiri namun tidak mampu membina rumah.
“Dengan subsidi RM30,000 daripada kerajaan negeri, pemohon hanya perlu menanggung RM36,000 atau RM56,000 bergantung kepada jenis rumah yang dipilih,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, sebanyak 500 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) telah dibina mulai 2023 hingga tahun depan dengan peruntukan RM67.5 juta.
Daripada jumlah itu, katanya, 50 unit telah siap dan diserahkan kepada penerima manakala 120 unit sedang dalam pembinaan dan 165 unit dalam peringkat pelaksanaan.
Tambahnya, kerajaan Johor melaksanakan dua inisiatif utama pembangunan perumahan mampu milik yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat iaitu RPJ dan RKJ.
“Kedua-dua program ini bukan sahaja mengubah realiti kehidupan golongan pendapatan rendah di Johor yang selama ini tidak berpeluang memiliki rumah sendiri, malah memberikan mereka kualiti kehidupan lebih baik,” katanya.- MalaysiaGazette
















