Tindakan seorang anggota tentera yang menayangkan gambarnya dalam pakaian seragam rasmi di sebuah kelab malam di ibu negara mengundang perhatian ramai selepas rakaman insiden itu tular di TikTok. Ihsan Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah membuka kertas siasatan ke atas seorang anggotanya susulan penularan gambar lelaki berpakaian seragam tentera di sebuah premis hiburan yang tular di media sosial sejak Isnin lalu.

Gambar yang memaparkan individu berkenaan berada dalam latar logo Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) mencetuskan tanda tanya mengenai etika dan disiplin sebagai anggota pasukan keselamatan.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam kenyataan semalam berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) bagi mengenal pasti bagaimana insiden itu boleh berlaku.

“Kami memandang serius perkara berkenaan dan siasatan akan menjurus kepada kemungkinan pencemaran aspek keselamatan, baik terhadap individu berkenaan mahupun terhadap institusi tentera itu sendiri,” kata kenyataan itu.

Selain itu, siasatan turut memfokuskan kepada kemungkinan wujud penglibatan anasir subversif yang boleh menggugat integriti dan keselamatan institusi pertahanan negara.

Sekiranya terbukti melanggar peraturan, anggota terlibat boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana mencemarkan imej dan nama baik TDM.

“Walaupun paparan tersebut bersifat peribadi, imej sebagai anggota tentera di lokasi dan atas tujuan yang tidak bermoral boleh mengundang persepsi negatif terhadap pasukan,” jelas kenyataan itu lagi.

TDM turut memaklumkan pemantauan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan anggota akan diperketat bagi mengekang insiden seumpama ini daripada berulang.

Terdahulu, foto seorang individu berpakaian seragam tentera yang dikaitkan dengan RAJD tular di TikTok, selepas didakwa dirakam di sebuah premis hiburan di ibu negara, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast