BUTTERWORTH – Seorang anggota sukarelawan askar wataniah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan berasingan, iaitu memperdayakan bekas teman wanitanya konon dirinya diculik serta memiliki peluru tanpa lesen.
Tertuduh, Muhamad Zulkifli Azizan, 27, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama, duda anak dua itu didakwa melakukan penipuan dengan memperdayakan bekas teman wanitanya berusia 21 tahun untuk mempercayai bahawa dia berada dalam keadaan bahaya akibat diculik, sedangkan tiada penculikan berlaku dan rakaman video itu adalah satu rekaan semata-mata.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sekitar jam 10.30 malam pada 28 Mei lalu di sebuah kediaman Jalan Labu Banting, Guar Perahu di Bukit Mertajam, dekat sini.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sembilan butir peluru jenis SME 5.56mm blank buatan Malaysia tanpa lesen di sebuah kediaman di Bertam Perdana, Kepala Batas, jam 6.20 petang pada 2 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin menawarkan jaminan RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penghantar kurier dengan pendapatan RM1300 perlu menanggung dua orang anak berusia dua dan tiga tahun serta ibunya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan suspek bersama rakannya berusia 29 tahun direman selama empat hari susulan bertindak menghasilkan video kononya dia diculik sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangan lelaki terbabit.
Siasatan pihak polis mendapati video penculikan itu direka oleh suspek sendiri dengan bantuan rakannya semata-mata untuk meraih simpati bekas teman wanitanya.
Dalam rakaman video yang dihantar kepada kekasihnya pada 29 Mei lalu, memaparkan suspek kelihatan diikat tangan dan kaki, dengan mesej ugutan yang menyatakan dia ditahan oleh pihak tertentu. – MalaysiaGazette
















