BUTTERWORTH – Seorang anggota sukarelawan, Askar Wataniah, direman empat hari sehingga 6 Jun ini selepas didapati berpura-pura diculik untuk meraih simpati bekas teman wanitanya.
Suspek berusia 27 tahun yang juga bekerja sebagai penghantar barang itu juga direman bagi tempoh sama bagi membantu siasatan menyimpan sembilan butir peluru yang dipercayai diambil dari Kem Batalion 3 Rejimen 509 Askar Wataniah Butterworth, di sini.
Turut direman seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga rakan kepada suspek utama selepas dipercayai terlibat dalam menghasilkan video penculikan tersebut.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 10.45 pagi dengan diiringi polis serta berpakaian lokap.
MalaysiaGazette difahamkan, penahanan suspek utama itu dilakukan susulan siasatan kes kehilangan dirinya yang dilaporkan adiknya pada 27 Mei lalu, yang dipercayai berkait dengan video palsu penculikan yang dihantar kepada bekas teman wanitanya.
Siasatan mendapati video penculikan itu direka oleh suspek sendiri dengan bantuan rakannya semata-mata untuk meraih simpati bekas teman wanitanya.
Dalam rakaman video yang dihantar kepada kekasihnya pada 29 Mei lalu, memaparkan suspek kelihatan diikat tangan dan kaki, dengan mesej ugutan yang menyatakan dia ditahan oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Pulau Pinang mengesahkan bahawa tiada penculikan berlaku dan kedua-dua suspek telah mengaku melakukan perbuatan tersebut secara sengaja.
Hasil siasatan tersebut turut membawa kepada penemuan sembilan butir peluru yang disimpan di kediaman suspek utama di Bertam Perdana di sini, sebagai koleksi peribadinya. – MalaysiaGazette
















