Dr Azlan (kiri) dan Dr Mohamed Ezani (kanan) menunjukkan implan perentak jantung dwi-ruang tanpa wayar.

KUALA LUMPUR – Kehebatan Institut Jantung Negara (IJN) terus diakui apabila terus melakar sejarah dengan muncul sebagai pusat perubatan pertama di Asia Tenggara berjaya melaksanakan implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di dunia iaitu Abbott AVEIR™DR.

Perentak jantung inovatif yang telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Jun 2023 direka khusus bagi merawat pesakit yang mengalami degupan jantung perlahan atau tidak teratur.

Pakar Perunding Kanan dan Pengarah Klinikal Intervensi Elektrofisiologi dan Peranti Boleh Diimplan, Datuk Dr Azlan Hussin berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen IJN dalam menetapkan piawaian baharu untuk menjadi peneraju rawatan jantung di Malaysia dan serantau.

“Perentak jantung dwiruang tanpa wayar ini bakal memperbaiki penjagaan pesakit sedia ada dan mencipta peluang untuk merawat lebih ramai pesakit termasuk kanak-kanak.

“Dengan pemansuhan penggunaan wayar dan poket pembedahan, sistem perentak jantung baharu ini mengurangkan risiko komplikasi seperti jangkitan, wayar tercabut, atau salur darah tersumbat,” katanya pada sidang media, semalam.

Setakat ini, 18 pesakit sudah menerima peranti baharu ini, dengan implan pertama dilaksanakan pada 27 Mei lalu hasil pengalaman lebih sedekad IJN dalam teknologi perentak jantung tanpa wayar yang menyaksikan hampir 900 pesakit telah menjalani prosedur melibatkan teknologi baharu itu.

Mengulas lanjut, Azlan menambah, komplikasi jangka panjang lazimnya antara satu hingga dua peratus, atau dalam sesetengah kes ia lebih rendah berbanding perentak jantung konvensional.

“Sistem itu juga direka untuk menyediakan analisis rentakan masa nyata, membolehkan pakar mengesahkan penempatan peranti yang betul semasa prosedur sebelum implantasi ke dalam ruang jantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, penggunaan teknologi baharu menyebabkan kos awal bagi prosedur ini agak tinggi.

“Sama seperti teknologi baharu yang lain, kos awal memang agak tinggi. Namun, caj di IJN jauh lebih rendah berbanding kebanyakan hospital swasta,” katanya.

Sementara itu, sistem AVEIR™ DR direka untuk pesakit yang mengalami jantung perlahan atau tidak normal selain berbeza daripada perentak jantung tradisional yang diletakkan di bawah kulit dengan wayar disambungkan ke jantung dan lebih kecil serta diimplan terus ke dalam atrium dan ventrikel kanan jantung.

Sebagai perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di dunia, ia menyalurkan rentak yang lancar tanpa komplikasi, reka bentuk invasif minimum, hayat jangka panjang dan ciri-ciri pengubahsuaian untuk keperluan terapeutik masa hadapan.

Pada 2018, IJN pernah muncul hospital pertama di luar Amerika Syarikat yang menjalankan implan MicraAV iaitu perentak jantung terkecil di dunia. – MalaysiaGazette

messenger sharing button

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast